KUCHING, 23 September 2026 – Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) perlu memperkukuh fungsi penilaiannya dengan beralih kepada pendekatan berasaskan data bagi memastikan pengambilan tanah, pampasan, premium dan urusan berkaitan tanah dibuat dengan lebih tepat serta konsisten.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, peningkatan pembangunan infrastruktur, pertumbuhan bandar dan pelaburan berskala besar menjadikan proses penilaian tanah semakin kompleks dan memerlukan sokongan data pasaran yang kukuh.
"Proses pengambilan tanah perlu disokong oleh penilaian yang profesional, konsisten dan dapat dipertahankan supaya pembangunan dapat dilaksanakan tepat pada masanya tanpa mengabaikan hak pemilik tanah untuk menerima pampasan yang adil," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Hari Inovasi dan Integriti Tanah dan Survei Sarawak (HIITS) 2026 di Hotel Riverside Majestic.
Menurutnya, penilaian premium bagi variasi syarat hak milik, pemberimilikan terus, pembaharuan pajakan tanah serta projek pembangunan juga perlu mengambil kira perubahan pasaran dan potensi pembangunan sesuatu kawasan.
Sehubungan itu, katanya, JTS perlu bergerak lebih jauh ke arah 'data-driven valuation' dengan menggunakan data transaksi, maklumat geospatial serta analitik pasaran yang lebih tersusun.
"Saya mahu fungsi penilaian bergerak lebih jauh ke arah data-driven valuation dengan penggunaan data transaksi, maklumat geospatial dan analitik pasaran yang lebih tersusun," katanya.
Abang Johari berkata pendekatan berkenaan akan membantu meningkatkan ketepatan penilaian, mempercepatkan keputusan kerajaan, mengurangkan pertikaian serta memastikan hasil negeri dinilai secara wajar.
Beliau berkata pembangunan infrastruktur turut memberi kesan kepada nilai tanah, justeru perubahan nilai yang berlaku akibat pembangunan perlu diambil kira secara lebih sistematik.
"Apabila kita bangunkan tanah, apabila kita bangunkan jalan, sudah tentu nilai tanah akan bertambah," katanya.
Menurut beliau, pendekatan berasaskan data juga penting bagi memastikan keputusan berkaitan tanah dapat dipertahankan berdasarkan maklumat yang objektif, terutama apabila melibatkan kepentingan pemilik tanah dan kepentingan pembangunan negeri.
Beliau berkata langkah memperkukuh sistem penilaian merupakan sebahagian daripada usaha JTS memodenkan pentadbiran tanah supaya keputusan berkaitan tanah dibuat dengan lebih pantas, tepat dan berasaskan bukti.